Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Kisah benar ini telah berlaku pada suatu
waktu dahulu.
Pada satu petang ketika sedang memandu berhampiran
DSI dalam perjalanan balik dari tempat kerja ke rumah, saya terlihat seorang wanita bekas pelajar
saya sedang berjalan dengan rakan sekerja saya Irah. Saya terus memberhentikan kereta
untuk menegur Irah dan bekas pelajar
saya itu. Setelah berbual singkat, bekas pelajar yang saya namakan Ina itu dalam
nada bergurau berkata “masalah saya sekarang sangat rumit”. Walau pun dalam
nada bergurau, saya yakin bahawa Ina ini memang mengalami masalah yang amat
besar. Perubahan penampilan dirinya ketika bertemu dengan saya di pejabat
Pendaftar tempat kerja saya pada suatu ketika dahulu sebaik sahaja beliau tamat pengajian seakan-akan
mengesahkan gurauannya.
Keesokan
hari, Irah bertemu saya atas urusan rasmi. Kesempatan ini diambil oleh Irah untuk
menceritakan serba sedikit mengenai masalah Ina. Saya memberitahunya bahawa
saya memang ada mengikuti perkembangan masalah Ina bermula sewaktu pada tahun
dua lagi semasa saya mengajar salah satu mata pelajaran yang diikuti Ina.
Merasakan bahawa saya mempunyai sedikit sebanyak cerita latar belakang mengenai
Ina, Irah lantas menceritakan keadaan Ina yang diberitahu semasa pertemuan
semalam denganb Ina. Satu pengalaman yang begitu mistik dalam waktu yang
singkat bersama Ina. Ina mempunyai kelebihan boleh melihat jin dan iblis.
Meremang juga Irah bila mendengar Ina menceritakan keadaan makhluk ini. Tingkah
laku Ina juga pelik. Contohnya bila Ina menyorokkan dirinya di belakang Irah apabila
terpandang makhluk-makhluk ini.
Selepas
selesai menceritakan keadaan Ina, lalu saya menawarkan diri untuk bekerjasama
dengan Irah untuk buat projek kebajikan iaitu membantu Ina menyelesaikan
masalah yang sedang dihadapinya. Irah bersetuju dan mula merancang langkah
berikutnya.
Kira-kira
seminggu berlalu, pada hari Rabu kira-kira jam 9 pagi telefon bimbit saya
berdering. Setelah saya menjawab, bermulalah dialog “Emjay, ini Irah, petang
ini engkau free tak sebab Ina nak datang jumpa aku. Nanti boleh aku pass kepada
engkau” berkata Irah di hujung talian.
“Petang
ini sebenarnya aku sudah merancang untuk menyelia pelajar, tapi tak apalah, aku
tangguhkan. Boleh kita buat appointment dengan Ina petang ini”. Saya menjawab.
Sekarang ini memangnya musim menyelia pelajar yang sedang menjalani latihan
mengajar.
“Pukul
4 petang nanti bila Ina datang saya akan bawa jumpa engkau. Boleh guna Makmal
la nanti” Irah mencadangkan dan saya menyetujuinya.
Bermula
dari saat itu saya membuat persediaan yang sewajarnya sebagaimana yang diajar
oleh arwah guru saya. Berzikir dan berdoa semoga Allah memberikan petunjuk,
rahmat, hidayah, taufik serta pertolongan dalam menangani dan membantu
menyelesaikan masalah Ina. Pukul 3 petang saya sudah berada di makmal
menumpukan perhatian ke atas kes yang bakal dihadapi. Zikir dan doa terus diamalkan.
Kira-kira
pukul 4 petang, telefon bimbit saya berdering “Assalamualaikum, Ina ni, saya
nak jumpa dengan Encik. Saya sekarang sedang berada di depan bilik Encik”.
Gembira
mendengar suara bekas pelajar saya lalu menjawab “Waalaikumsalam. Saya sekarang
sedang menunggu Ina di Makmal. Datanglah ke sana, saya sedang menunggu”.
Tidak
lama kemudian saya keluar menanti Ina di depan pintu utama Makmal. Di hujung
sana kelihatan Ina berjalan diiringi oleh suaminya Usop. Setelah menyapa dan
bersalam dengan Usop, saya membawa mereka masuk Makmal lalu menolak dua kerusi
untuk Ina dan suaminya Usop. Sebelum sesi bermula, Ina minta izin untuk berjumpa
Irah terlebih dahulu, mungkin untuk mengajak Irah turut sama dalam sesi
tersebut.
Sebagaimana
biasa sesi dimulakan dengan mengkaji sejarah Usop dan isterinya Ina. Beberapa
fakta penting dapat saya catatkan seperti berikut:
- Pada bulan Mac yang lalu iaitu kira-kira
lebih sebulan lalu Ina diiringi suami ada berubat dengan seorang bomoh di
Flat Taman Tun Aminah dengan pakcik Sahih sebanyak tiga kali. Di antara
salah satu perubatannya ialah mandi bunga dan ada air untuk diminum dari
botol yang mengandungi kertas yang bertulis perkataan tertentu dengan
huruf jawi.
- Sekembali dari perubatan ini, di rumah tidak
ada sebarang perkara berlaku tetapi bila balik ke rumah orang tua Ina,
satu musibah besar telah berlaku. Ina telah kena histeria, menurun menjadi
pontianak, harimau atau macam panglima zaman dahulu kala. Perkara seperti
ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
Tidak lama
kemudian Ina kembali dari menemui Irah. Irah tidak dapat bersama kerana sebab
yang tertentu. Sebelum sesi disambung semula, Ina mengeluarkan salinan beberapa
sijil dan surat minta saya menandatangani pengesahannya. Tanda tangan sahaja
tanpa cop pengesahan tidak sempurna. Usop mengambil keputusan untuk
meninggalkan kami sebentar untuk beliau ke pejabat bagi mendapatkan cop rasmi
pengesahan sijil.
Sebaik
sahaja Usop meninggalkan kami, saya menyambung semula kajian sejarah Ina dan
suaminya. Saya memulakan dengan mengajukan soalan pertama. Belum habis soalan
ini diajukan, saya diberikan kejutan yang tidak pernah saya alami dan jangkakan. Satu hentaman tangan
kuat ke meja diiringi sergahan yang kuat dihamburkan dari mulut Ina memarahi
saya. Terperanjat, ketakutan dan terkedu saya dibuatnya. Di dalam Makmal yang
besar tersebut hanya kami berdua sahaja yang tinggal. Berbagai-bagai bunyi yang
mengerikan, cakaran kuku berkeriut di atas meja dan pelbagai suara dihamburkan
kepada saya. Banyak bahasa yang dikeluarkan tetapi telah lupa disebabkan
terperanjat dan ketakutan. Di antara pelbagai sebutan yang diucapkan yang dapat
saya ingat ialah “Saya mahu darah awak!!”.
Dalam
ketakutan tersebut apa yang dapat saya usahakan adalah semata-mata bertawakal
kepada Allah di samping mengucapkan istighfar, berzikir dan berdoa meminta
perlindungan dariNya. Kaki memang telah
bersedia untuk melompat dan berlari seandainya Ina bergerak ke arah saya.
Teringat kata-kata arwah guru saya bahawa wanita dalam keadaan menurun ini,
tenaganya insyaAllah hanya dapat ditangani oleh enam orang lelaki. Bulu tengkuk
memang meremang tegak. Bilalah suami Ina hendak balik dari pejabat. Masa
dirasakan amat perlahan sekali. Selepas satu tempoh yang dirasakan begitu lama
tiba-tiba Ina ketawa dengan nada biasa lalu berkata “Maaflah, begitulah saya!”.
Rupanya Ina sudah pulih. Reda saya seketika. Panjang sungguh syukur saya
kepadaNya dapat melepasi satu situasi yang begitu tegang.
Dapatlah
saya menarik nafas lega namun ia tidak kekal kerana beberapa saat selepas itu Ina
menurun lagi untuk kali kedua. Dia buat hal lagi memarahi saya dengan pelbagai
bahasa yang saya tidak suka mendengarnya. Saya sekadar terus bertawakal,
beristighfar, berzikir dan berdoa. Masa kembali dirasakan terlalu perlahan.
Selepas agak lama juga, Ina kembali normal lalu memohon maaf daripada saya.
Syukur tidak terkira kerana melepasi satu lagi azab. Namun ia tidak kekal
kerana baru hendak menarik nafas lega, Ina menurun lagi untuk kali ketiga.
Allah sahaja yang mengetahui azabnya berada berseorangan diri menghadapi
saat-saat sedemikian. Saya nekad untuk merubah rentak. Tidak boleh terus
mendiamkan diri sebegini dibuli boleh syaitan. Satu detik apabila Ina memaling
muka ke arah menjauhi pintu, saya buka langkah seribu ke arah pintu, membukanya
lalu menuju koridor. Namun ketakutan saya semakin bertambah kerana Ina juga
turut sama berlari mengikut saya di belakang. Allah Maha Besar, bila sampai di koridor,
Ina lalu berkata “heee, saya takut tinggal seorang dalam bilik tu” dengan nada
orang yang normal. Lapang dada dan peluh sejuk mula berhenti. Tambah gembira
apabila menoleh di hujung koridor sana, kelihatan suami Ina, Usop sedang
berjalan ke arah kami. Syukur Alhamdulillah.
Kami
bertiga masuk semula ke dalam makmal untuk meneruskan proses rutin yang
diajarkan arwah guru saya iaitu mengumpul fakta sejarah kehidupan Ina dan Usop
walaupun syaitan tidak menggemarinya. Sambungan fakta yang boleh dinyatakan di
sini ialah:
- Selepas kes histeria dan menurun tersebut di
rumah ibu bapa Ina, perkara yang sama berulang di rumah dan juga di
sekolah tempat Ina bekerja.
- Di sekolah, apabila histeria dan menurun, Ina
hanya akan menjadi macam pontianak sahaja.
- Apabila menurun di sekolah, rakan sekerja Ina
telah membawa beliau ke Pusat Perubatan Darus Syifak di “Kuaters”
Pendidikan Tasek Utara. Sewaktu perubatan di Darus Syifak ini, Ina seakan-akan dibawa
ke satu dunia lain. Dalam dunia ini, Ina nampak Kaabah, kuda Nabi saw dan
Sayidina Abu Bakar. Ina ada pedang yang digunakan untuk mencantas lawannya
iaitu seorang perempuan tua yang sebelumnya telah melanggar Ina dan juga
mengganggu adiknya hingga turut sama histeria. Sekembalinya dari berubat
di Darus Syifak ini, Ina dibekalkan dengan campuran garam dan lada hitam
sebagai pendinding. Sebotol air yang mengandungi kertas bertulis ayat
tertentu juga diberikan untuk diminum. Walaupun sudah berubat di Darus
Syifak, masalah Ina masih tidak dapat diselesaikan, malahan ia semakin
bertambah parah.
- Nenek saudara Ina ada bela pelesit dan hantu
raya.
- Usop pernah belajar silat gayung sewaktu
belajar di Politeknik dan diberikan oleh perguruan sehelai kain cindai
berwarna putih untuk simpanan.
- Sewaktu Ina di tingkatan tiga, ibu bapa
beliau pernah membawanya menemui bomoh di Kongkong, Masai. Semasa berubat,
Ina telah dibalut dengan kain hitam dan dijampi.
- Ina pernah berubat dengan bomoh di Masai.
Ketika balik, Ina dibekalkan dengan kacang hijau untuk ditabur di
sekeliling rumah sebagai pendinding.
- Rumah ibu bapa Ina berjiran dengan seorang
bomoh. Bomoh ini sangat baik dan rapat dengan Ina sejak 1990/91.
- Ina boleh melihat makhluk halus (jin, iblis
atau syaitan) semenjak dia kena histeria dan menurun. Di sepanjang sesi
temu bual ini, mengerikan juga apabila tiba-tiba Ina mencelah percakapan
saya untuk memberitahu “kawan-kawannya” sedang berkampung nun di hujung
makmal. Apabila saya mula mendakwah tentang konsep Allah dan kebesaranNya,
Ina mencelah lagi dengan memberitahu saya bawa “orang-orang” di belakang
sedang menangis.
- Ina pernah meninggalkan sembahyang wajib
terutamanya zohor kerana kesibukan kerja harian.
Memandangkan Usop
ada kerja yang perlu dibuatnya, sesi ini perlu dihentikan pada pukul 5.30
petang, tambahan pula kami semua belum sembahyang asar. Sebelum balik saya
memberikan Ina dan suami Usop pelan tindakan untuk dilaksanakan iaitu :
- Sembahyang jangan ditinggalkan. Jikalau suami
ada di rumah dan tidak ke surau atau masjid, hendaklah sembahyang berjemaah.
- Jangan pakai lipstick lagi.
- Gambar konvo dan kahwin jangan digantung di
dinding. Simpan di dalam album sahaja. Selepas melihat, tutupkan semula di
dalam album.
- Sebarang baju dan baju anak yang terdapat
gambar haiwan, manusia atau kartun hendaklah dibuang.
- Ayat Al-Quran jangan digantung di dinding
rumah.
- Kurangkan atau elakkan radio dan televisyen.
- Sembahyang tahajud dan witir.
- Belajar agama di rumah saya.
- Saya akan ikut balik ke rumah Ina untuk
mengambil pemberian Darus Syifak iaitu campuran garam dan lada hitam serta
bekas air yang mengandungi tulisan di atas kertas.
Pada hari
keesokannya, saya bersama isteri dan anak sulung saya telah berkunjung ke rumah
Ina selepas isyak kira-kira pukul 9.00 malam khamis malam Jumaat. Masuk sahaja
ke rumah Ina, terpandang permaidani dengan se ekor binatang tersergam indah di
tengah-tengah permaidani tersebut. Saya mula berdakwah untuk menanamkan konsep
Allah secara sepatutnya. Apabila mula sahaja dakwah tersebut, Ina mula buat hal
lama iaitu histeria dan menurun namun kini keadaannya lebih terkawal tidak
seperti dua hari lepas. Saya membisikkan kepada isteri dan anak untuk melakukan
perkara yang sewajarnya. Apabila keadaan reda, saya mengarahkan Usop membawa
isterinya untuk mengambil wuduk.
Sebaik sahaja
selesai wuduk, saya terus menyambung dakwah dan alhamdulillah keadaan kini
lebih terkawal. Saya menasihatkan Ina dan Usop agar mempercepatkan kedatangan mereka ke rumah saya untuk belajar agama.
Setelah selesai, saya minta izin untuk balik dengan membawa bersama permaidani
serta ayat Al-Quran yang tergantung di dinding. Tidak lupa juga saya berpesan
agar pada cuti hari buruh kelak mereka datang ke rumah untuk belajar.
Hari cuti buruh
1 Mei, hari Ahad ditunggu dan juga hari Isnin berikutnya namun yang ditunggu
tidak tiba. Pada hari Selasa malam selepas isyak, saya dan isteri berkunjung ke
rumah Ina. Setibanya kami, Ina bercerita bahawa beliau dan suami memang telah
merancang untuk datang berkunjung ke rumah saya pada hari Ahad lalu tetapi
bermula pagi Ahad tersebut, suami serta 3 orang anak mereka telah diserang
sakit kepala yang kronik. Masing-masing anak minta ibunya (Ina) iaitu
satu-satunya yang tidak sakit kepala untuk memicit kepala mereka. Bagi diri Usop,
selain sakit kepala, beliau juga diserang sakit sendi kaki yang menyukarkan
beliau berjalan. Peristiwa ini berlarutan sehingga ke hari esoknya. Hajat hati
untuk belajar agama terpaksa ditunda. Mendengar penerangan Ina tersebut, saya
pun mencelah “Sepatutnya waktu semua sedang sakit kepala, terus bawa semua
datang ke rumah .......”. Belum sempat saya menghabiskan kata-kata tersebut,
saya telah dihumban dengan bantal oleh Ina. Saya lalu menyuruh Usop untuk
membawa Ina untuk mengambil wuduk. Ina diserang
histeria dan menurun lagi dengan mencakar tangan suami yang ingin membawanya ke
bilik air. Namun jelas kelihatan serangan histeria dan menurun kali ini sudah
semakin lemah dan terkawal. Semenjak Ina berkunjung ke UTM pada hari Rabu lalu,
sehingga kini kejadian menurun dan histeria di sekolah alhamdulillah sudah
tidak berlaku lagi.
Selepas berwuduk, saya menyambung dakwah bahawa
memang syaitan marah dan berusaha agar Ina dan suami tidak datang ke rumah saya
untuk belajar agama. Namun kita perlu berjihad dengan bersungguh-sungguh
melawan syaitan ini. Selepas selesai menyampaikan sedikit dakwah, saya meminta
agar Ina menyerahkan lagi pelbagai bahan larangan Islam seperti tangkal, azimat
dan sebagainya. Ina bersetuju untuk menyerahkan pula segala bahan yang
diperoleh dari perubatan CVT (color vibration Therapy). Ina menceritakan telah
banyak ribu RM dibelanjakan untuk mendapatkan rawatan secara CVT ini namun apa
yang diharapkan tidak juga kunjung tiba.
Keesokan hari
iaitu petang Rabu, saya balik ke rumah agak lewat, kira-kira pukul 6 petang
baru sampai ke rumah. Setelah turun dari kereta, saya menoleh ke belakang untuk
memerhatikan sebuah kereta yang turut berhenti. Berderau darah saya apabila pemandu
kereta tersebut adalah Puan Ina. Ina sedang mencari rumah saya dan kebetulan
saya melintas lalu Ina mengekori saya ke rumah. Saya mempersilakan Ina bersama
dua anaknya masuk. Sebenarnya Ina sekadar mencari rumah namun apabila telah
terserempak Ina terpaksa belajar agama Islam bab akidah untuk kali pertamanya
di rumah saya. Kawalan dirinya alhamdulillah semakin baik dan pengaruh syaitan
kelihatan semakin lemah. Serangan histeria dan menurun di sekolah juga telah
alhamdulillah tidak lagi berulang semenjak seminggu lalu. Selepas sembahyang
maghrib berjemaah, makan malam dan sembahyang isyak, kira-kira pukul 9.30 malam
Puan Ina balik ke rumah.
Keesokan hari
khamis kira-kira pukul 8.30 malam, Ina bersama suami Usop dan anak-anak
berkunjung lagi ke rumah untuk menyambung pelajaran agama bab akidah. Kali ini
muka Ina tidak seperti dahulu, sudah berseri. Tidak ada tanda gangguan syaitan
dan serangan histeria dan menurun, alhamdulillah. Kira-kira pukul 10.30 malam
Ina dan keluarga meninggalkan rumah saya.
Pada hari rabu
malam khamis minggu berikutnya kira-kira 8.30 malam, Ina berserta suami dan
anak-anaknya datang lagi ke rumah. Satu pemberian dari mereka yang cukup
berharga iaitu sekarung beg plastik sampah warna hitam bersaiz besar
mengandungi barang-barang dimurkai Allah seperti tangkal dan buku-buku sesat
seperti terjemahan lengkap mujorobat diserahkan kepada saya. Alhamdulillah Ina
dan keluarganya telah semakin diberkati dan dirahmati Allah. Muka Ina semakin
berseri begitu juga suaminya Usop, tidak seperti dua minggu lepas. Proses
dakwah disambung lagi hingga hampir pukul 11 malam.
Ina sempat
menceritakan berita gembira sewaktu di sekolah ketika diajukan soalan oleh
rakan sekerja “Engkau boleh nampak lagi tak makhluk pelik macam dulu tu ?”.
Dengan selamba
Ina menjawab “Servisnya dah tamat tempoh !”. Saya merasa begitu bersyukur lalu
mengucapkan alhamdulillah di atas segala rahmat, berkat, taufik, hidayah dan
pertolongan yang diberikan Allah. Semoga Ina terus menjadi mukminat yang
sentiasa lebih baik hari ini berbanding semalam.
Hari ini setelah
lebih bertahun-tahun Puan Ina kerasukan dan menurun dan setelah alhamdulillah
banyak juga ilmu agama yang dipelajari,
beliau telah mula menjadi pendakwah di sekolahnya di kalangan pelajar dan rakan
sekerjanya. Berbagai-bagai masalah pelajar dari kerasukan dan pelbagai masalah
lain sudah mula ditangani beliau. Alhamdulillah. Semoga Allah menjadikan beliau
sebagai anak murid saya yang boleh memanjangkan ilmu semasa hidup dan selepas
saya menghadap Allah.
Emjay